Diriwayatkan dari Ibnul Mubarak bahawa ada seorang lelaki bernama Khalid bin Ma'dan berkata kepada Mu'az : '' Tolong ceritakan sebuah hadis yang kamu dengar dari Rasulullah SAW yang kamu hafal dan sentiasa kamu ingat lantaran begitu bagus dan terperincinya kandungan hadis tersebut. Mu'az menjawab : ''Baiklah''. Kemuadian lama sekali Mu'az menangis, lalu dia mengatakan kerinduannya kepada Rasulullah dan sangat ingin bertemu dengan Baginda, lalu berkata :
''Pada suatu hari aku berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba Baginda lalu menaiki seekor unta dan memboncengkan aku di belakang Baginda. Kami pun lalu berjalan. Beberapa waktu kemudian baginda mendongakkan pandangan ke atas sambil berkata : ''Segala puji bagi Allah, Zat yang mengatur dan menentukan apa sahaja yang Dia kehendaki untuk para makhlukNya''. Sesudah itu Baginda menyapaku : ''Wahai Mu'az..''. Aku menjawab : ''Labbaik, ya Rasulullah''. Rasulullah lalu bersabda : Aku akan memberitahu satu kata-kata yang jika kamu sentiasa mengingatinya, maka ia akan bermanfaat bagimu. Dan jika kamu mensia-siakannya, maka kamu tidak akan memiliki hujah di hadapan Allah swt.
Wahai Mu'az, sesungguhnya Allah swt telah menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan semua langit dan bumi. Setiap langit memiliki malaikat penjaga pintu yang sentiasa berjaga-jaga, Dia juga menciptakan malaikat yang menjaga semua pintu langit sesuai dengan ukuran dan besarnya pintu. Suatu ketika malaikat Hafazhah (malaikat pencatat amal) naik sambil membawa amal seorang hamba, amal tersebut memiliki cahaya bagai cahaya matahari, malaikat Hafazhah membawa amal tersebut naik ke langit dunia dan menganggap bahawa amal itu sudah banyak dan bersih. Setelah sampai di depan pintu langit pertama, seorang malaikat penjaganya berkata kepadanya : ''Lemparkan amal ini ke muka pemiliknya. Aku adalah malaikat yang ditugaskan mengawasi umpatan. Rabbku memerintahkan aku agar tidak membiarkan amal seorang pengumpat lolos begitu sahaja melaluiku''.
Keesokan pagi harinya malaikat Hafazhah membawa amal baik lagi bercahaya yang dianggap sangat banyak dan bersih. Sesampainya di pintu langit kedua, seorang malaikat penjaganya berkata: '' Berhenti! Lemparkan amal ini ke muka pemiliknya kerana dengan amal ini dia berniat mengharapkan harta dunia. Rabbku telah memerintahkan aku agar tidak membiarkan amal orang tersebut lolos begitu sahaja melaluiku. Para malaikat pun mengutuk orang yang melakukan amal tersebut sehingga waktu petang.
Seterusnya malaikat Hafazhah menjalankan tugasnya dengan penuh taat. Malaikat itu gembira membawa amal yang terdiri dari sedekah, puasa dan banyak sekali kebaikan. Dia menganggap amalan itu sudah banyak dan bersih. Setelah sampai di pintu langit ketiga, malaikat penjaga pintu berkata : 'Berhenti! Lemparkan amal ini ke muka pemiliknya. Aku adalah malaikat yang ditugaskan mengawasi kesombongan. Rabbku memerintahkan aku agar tidak membiarkan amal orang tersebut lolos begitu sahaja melaluiku. Sesungguhnya pemilik amal tersebut suka berlagak sombong di hadapan orang ramai dalam setiap majlis mereka.
Seterusnya malaikat Hafazhah membawa amal yang bercahaya bagaikan bintang yang bersinar amat terang. Amal tersebut bergemuruh dan membaca tasbih. Amal itu merupakan puasa, solat, haji dan umrah. Setelah sampai di pintu langit keempat, malaikat penjaga pintu berkata: ''Berhenti! Lemparkan amal ini ke muka pemiliknya. Aku adalah malaikat yang mengawasi ujub. Rabbku memerintahkan aku agar tidak membiarkan amal orang tersebut lolos begitu sahaja melaluiku. Sesungguhnya ketika beramal, orang yang melakukannya turut memasukkan perasaan ujub (bangga terhadap diri sendiri) ke dalamnya''.
Kemudian malaikat Hafazhah membawa amalan hamba Allah dengan cepat seperti pengantin perempuan yang dibawa ke rumah suaminya.. Sesampainya di pintu langit kelima dengan membawa amal baik berupa jihad, haji dan umrah yang bersinar umpama matahari, seorang malaikat penjaganya mengatakan: ''Aku adalah penjaga sifat hasad. Sesungguhnya dia (pemilik amal) sentiasa iri hati dengan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain dari kurniaNya. Dia benar-benar tidak menyukai apa yang diredhai oleh Allah. Rabbku memerintahkan aku agar tidak membiarkan amal orang tersebut lolos begitu sahaja melaluiku.
Seterusnya malaikat Hafazhah naik membawa amal hamba yang berupa wudhuk yang sempurna, solat yang banyak bilangannya, puasa, haji dan umrah. Setelah membawa naik amal tersebut sehingga langit keenam, malaikat penjaga pintu berkata: ''Aku adalah penjaga kasih sayang. Lemparkan amalan ini ke muka pemiliknya kerana dia sama sekali tidak mempunyai kasih sayang kepada sesiapa pun. Jika ada seseorang mendapat musibah, dia malah berasa gembira kerananya. Oleh itu, Rabbku memerintahkan aku agar tidak membiarkan amalan orang ini lolos begitu sahaja melaluiku.
Kemudian malaikat Hafazhah membawa amal berupa nafkah yang banyak bilangannya, puasa, solat, jihad dan warak. Amal itu bergemuruh bagaikan bunyi petir dan bersinar seperti kilat. Sesampainya di pintu langit ketujuh, malaikat penjaga pintu berkata: ''Aku adalah pengawal sifat sum'ah (sifat ingin dipuji dan terkenal di tengah masyarakat). Orang yang memiliki amal ini ingin terkenal di tempat pertemuan, menionjol di hadapan para sahabatnya dan ingin mulia di hadapan para pembesar. Rabbku memerintahkan aku agar tidak membiarkan amal orang tersebut lolos begitu sahaja melaluiku. Setiap amal yang tidak tulus kerana Allah adalah riak, sedangkan Dia tidak akan menerima amal orang yang riak.
Kemuadian malaikat membawa amalan hamba yang lain sehingga ke langit ketujuh. Amalan tersebut ialah solat,zakat, puasa, haji, umrah, pekerti mulia, diam dari perkataan yang sia-sia dan zikrullah. Amal tersebut dihantar oleh malaikat penjaga tujuh langit, sehingga melintasi semua dinding penutup dan berhenti di hadapan Allah swt. Malaikat memberikan kesaksian bahawa amal tersebut baik dan ikhlas kerana Allah.
Namun Allah swt berfirman: ''Kamu semua adalah pencatat amal hambaKu, sedangkan Aku adalah Zat yang sentiasa mengawasi isi hatinya. Sesungguhnya dia tidak inginkan keredhaan-Ku dengan dengan amal ini, melainkan inginkan keredhaan dari selain-Ku. Dia tidak ikhlas kerana Aku, dan Aku mengetahui apa yang dia inginkan dengan amalnya. Dia berhak mendapat laknat-Ku. Dia dapat menipu keturunan Adam serta menipu kamu semua, tetapi tidak dapat menipu-Ku. Aku Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib dan mengetahui segala isi hati. Bagi-Ku tidak ada perkara yang samar-samar dan tidak ada perkara yang tersembunyi. Pengetahuan-Ku pada perkara yang telah berlaku sama dengan pengetahuan-Ku pada perkara yang akan berlaku. Ilmu-Ku dalam perkara yang sudah berlalu sama dengan ilmu-Ku dalam perkara yang akan datang. Ilmu-Ku pada orang terdahulu sama dengan ilmu-Ku pada orang yang hidup pada kemudian hari. Aku mengetahui segala rahsia dan perkara yang tidak dapat dilihat. Bagaimana mungkin seorang hamba dapat menipu-Ku dengan amalnya? Dia hanya dapat menipu segala makhluk yang tidak tahu (perkara tersembunyi), sedangkan Aku Maha Mengetahui perkara ghaib. Dia berhak menerima laknatKu''.
Seterusnya ketujuh-tujuh malaikat penjaga langit itu beserta 3000 malaikat lain yang membawa amalan tersebut berkata : ''Wahai Rabb kami, baginya laknat dari-Mu dan laknat dari kami semua. Semua penduduk langit pun berkata :''Semoga dia memperoleh laknat dari Allah dan laknat dari seluruh makhluk yang dapat melaknat''.
Mu'az pun menangis tersedu-sedu, lalu berkata: ''Ya Rasulullah, bagaimana caranya agar dapat selamat dari apa yang kamu katakan tadi?''. Rasulullah menjawab: ''Wahai Mu'az, ikutilah keyakinan Nabimu. Aku (Mu'az) berkata: ''Kamu adalah seorang utusan Allah, sedangkan aku adalah Mu'az bin Jabal (manusia biasa). Bagaimana aku dapat selamat?''. Rasulullah berkata : ''Benar kamu, Mu'az! Jika ada kekurangan pada amalmu, maka jauhkanlah lisanmu dari mengatakan aib orang lain, lebih-lebih dari para penghafal Al-Quran. Mengetahui akan aibmu sendiri hendaklah menghalangmu untuk mengorek aib orang lain, jangan membersihkan diri dengan mencela saudaramu, jangan mengangkat darjatmu dengan merendahkan saudaramu, jangan riak dengan amalmu agar kamu dikenali orang ramai, jangan hanyut dalam urusan dunia yang boleh membuatmu lupa terhadap urusan akhirat, jangan bercakap berdua dengan seseorang jika di sampingmu ada orang ketiga, jangan sombong di hadapan ramai orang sehingga kebaikan dunia dan akhiratmu terputus, jangan berkata buruk, jangan mengungkit-ungkit pemberianmu kepada orang lain. Dan jangan mengoyakkan mereka dengan lidahmu, sehingga kelak kamuakan dikoyakkan oleh anjing jahannam. Inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah swt (surah An-Nazi'at :2) : '' Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yamg selembut-lembutnya''. Maksudnya akan dikoyakkan daging dari tulangnya. Aku (Mu'az) berkata : ''Ya Rasulullah, siapa yang mampu melakukan semua ini?'' Rasulullah menjawab : '' Wahai Mu'az, semua yang kukatakan kepadamu teramat mudah bagi orang yang diberi kemudahan oleh Allah untuk melakukannya. Sesungguhnya rahsia untuk dapat melakukannya, cukup kamu mencintai orang lain seperti kamu mencintai dirimu sendiri dan membenci sesuatu yang menimpa mereka seperti halnya jika perkara tersebut menimpa dirimu. Dengan demikian, kamu akan selamat''.
Khalid bin Ma'dan berkata: ''Dalam setiap majlis (pertemuann)nya, Mu'az bin Jabal lebih banyak membaca dan menerangkan hadis ini daripada ayat al-Quran''.
Sumber : Terjemahan dari Kitab Minhaajul 'Aabidiin, Imam al-Ghazali.
Comments
Post a Comment