Baginda diperlihatkan seksaan terhadap wanita.
Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah saw dibawa menaiki buraq menuju ke Kaabah untuk proses pembersihan hati. Nabi Muhammad saw turut mengalami pelbagai peristiwa, antaranya dada Baginda dibedah malaikat Jibril dan Mikail.
Hati Baginda dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dada Rasulullah. Selepas itu, dada Baginda dijahit dan dimeterikan dengan 'khatimun nubuwwah'. Selesai pembedahan, Baginda menaiki buraq meneruskan perjalanan luar biasa itu.
Semasa perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, sepanjang perjalanan itu Rasulullah diiringi malaikat Jibril dan Israfil. Tiba di tempat mulia dan bersejarah, Rasulullah diarah Jibril supaya berhenti dan bersolat dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan Hijrah, Bukit Tursina, tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu daripada Allah serta Baitul Laham, iaitu tempat Nabi Isa a.s. dilahirkan.
Dalam perjalanan itu, Baginda menghadapi gangguan jin ifrit dengan obor api. Peristiwa itu mengingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu untuk menyesatkan dan memperdaya umat manusia dengan pelbagai cara.
Dalam perjalanan Rasulullah ke Masjidil Aqsa, Baginda melihat beberapa gambaran antara langit dan bumi. Antara pelajaran yang dapat diambil dari peristiwa itu ialah mengenai wanita. Rasulullah saw melewati satu daerah di mana yang baunya sangat harum seperti bau kasturi. Baginda bertanya kepada Jibril, daerah apakah yang sedang mereka lewati.
Jibril menjawab: " Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga". Masyitah ialah pengasuh anak Firaun, pemerintah yang kejam di Mesir yang mengaku dirinya Tuhan. Masyitah memiliki semangat dan jiwa keislaman yang kuat sehingga mampu mengenepikan keangkuhan Firaun. Kerana kekejaman Firaun, dia terpaksa menyembunyikan keislamannya.
Pada suatu hari, ketika Masyitah menyisir rambut puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh. Dengan tidak sengaja, Masyitah menyebut nama Allah. Ketika sang puteri mendengarnya, puteri itu bertanya kepada Masyitah, siapakah Allah itu?
Masyitah pada awalnya enggan menjawab, tetapi setelah didesak berkali-kali, dia akhirnya memberitahu bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Tuhan Sekalian Alam. Anakanda Firaun itu kemudiannya mengadu kepada ayahnya. Firaun sangat marah apabila megetahui Masyitah menyembah tuhan selain dirinya. Firaun memaksa Masyitah mengaku dirinya sebagai tuhan.
Dengan penuh keberanian, Masyitah berkata : "Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah". Kata-kata tersebut menimbulkan kemarahan Firaun. Lalu dia memerintahkan menterinya, Hammam, agar membuat patung sapi dari tembaga dan diisi minyak untuk merebus Masyitah dan keluarganya.
Ketika tiba giliran bayinya dimasukkan ke dalam minyak panas, Masyitah hampir mengaku kalah dan menyerah kepada kehendak Firaun kerana sangat sayang kepada anaknya. Tetapi dengan kehendak Allah, maka terjadilah kejadian luar biasa. Secara tiba-tiba, bayi itu dengan fasih berkata: "Wahai ibuku, teruskanlah dan jangan menerah kalah. Sesungguhnya engkau di jalan yang benar".
Masyitah dan keluarganya mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan "Allah Tuhan Yang Esa dan Firaun hanya manusia biasa". Lalu semuanya syahid dibunuh Firaun.
Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini diperingati oleh seluruh manusia melalui peristiwa Israk Mikraj. Dalam perjalanan tersebut juga, Baginda saw diperlihatkan seksaan yang menimpa golongan wanita sehingga Rasulullah menangis apabila mengenangnya.
Antaranya ialah perempuan yang digantung dengan rambut, dan otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya dari pandangan lelaki lain.
Seksaan lain ialah perempuan yang digantung dengan lidah, tangannya dikeluarkan dari punggung dan minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang suka menyakiti hati suami dengan perkataan.
Baginda juga melihat bagaimana perempuan digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pohon zakum dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa izin dari suaminya.
Ada perempuan yang diikat kedua kaki serta tangannya sampai ke ubun-ubun, dililit oleh beberapa ekor ular dan kala jengking. Itu adalah balasan kepada perempuan yang mampu solat dan berpuasa, tetapi tidak mahu mengerjakannya. Mereka sering keluar rumah tanpa izin suaminya dan tidak mandi wajib setelah haid dan nifas.
Baginda kemudian melihat perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri sedangkan di bawahnya ada api yang menyala. Golongan itu adalah perempuan yang berhias agar dilihat oleh lelaki lain dan suka menceritakan keburukan orang lain.
Baginda juga melihat perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka membanggakan diri sendiri agar orang melihat perhiasannya.
Selain itu, Baginda turut menyaksikan seksaan terhadap perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya seperti keldai. Mereka suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.
Ada juga perempuan yang Baginda lihat, wajahnya berbentuk anjing dan beberapa ekor ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya lalu keluar melalui duburnya. Ia adalah akibat daripada perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.
Comments
Post a Comment