Kefakiran hidup kadang-kala amat menyesakkan dada. Seandainya kehidupan diulit kemewahan, pasti hidup lebih bermakna. Demikianlah yang sering terlintas dalam fikiran setiap insan di kala rezeki menyempit. Namun, yang dikhuatiri oleh Rasulullah saw bukanlah suasana kefakiran, tetapi terbukanya dunia yang sering melalaikan fikiran kita daripada beribadah kepada Allah.
Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa suatu ketika Abu Ubaidah diutus oleh Rasulullah SAW untuk menarik jizyah ke Bahrain. Dari Bahrain, beliau berjaya membawa jizyah dalam jumlah yang banyak. Berita kedatangan Abu Ubaidah dengan sejumlah harta itu merebak di kalangan sahabat Ansar. Setelah melaksanakan solat Subuh bersama, Rasulullah berpaling kepada sahabat yang sudah lama menunggu. Mereka melihat Rasulullah tersenyum seraya bersabda: ''Aku kira kalian telah mendengar berita kedatangan Abu Ubaidah dengan sesuatu ke Bahrain''.
Mereka menjawab: ''Benar ya Rasulullah''. Rasulullah selanjutnya bersabda: ''Bergembiralah dengan apa yang kalian senangi(harta). Demi Allah sesungguhnya bukan kekafiran yang aku takutkan dari kalian, tetapi aku takut jika dunia dibukakan atas kalian sebagaimana yang dibukakan ke atas umat sebelum kamu lalu kalian berlumba-lumba memperolehinya, seperti orang terdahulu hancur kerananya''.
Dalam riwayat lain,Rasulullah juga pernah bersabda: ''Sesungguhnya fitnah kekayaan itu lebih aku takuti atas kalian daripada fitnah kemiskinan. Kalian telah mendapati fitnah kemiskinan dan kalian bersabar, sedangkan fitnah dunia ini terasa manis dan menyenangkan''.
Ketakutan fitnah dunia ini juga dirasakan oleh para sahabat. Salah seorang dari mereka adalah Salman al-Farisi. Suatu hari, Salman mengunjungi Sa'ad bin Abi Waqash lalu dia menangis. Sa'ad pun bertanya: ''Apa yang membuatmu menangis? Engkau telah bertemu para sahabatmu, dan ia akan mendatangi telaga Rasulullah dan beliau pun redha kepadamu saat akhir kehidupanmu''.
Salman menjawab: ''Aku menangis bukan kerana takut mati atau tamak dunia, tetapi kerana janji yang telah Rasulullah ambil dari kita dengan sabda Baginda, hendaklah kalian mengambil apa yang ada di dunia ini seperti sekadar perbekalan seorang pengembara. Tetapi sekarang ini aku risau dengan barang-barang di rumahku ini''.
''Ya Salman, padahal tiadalah barang di rumahmu kecuali timba tempat mencuci pakaian yang tidak seberapa harganya. Tetapi engkau begitu takut terjatuh dalam hidup yang berlebihan. Lalu bagaiman dengan kami ini?''
**sedar atau tidak, seringkali kesedihan kita tidak lain kerana dunia yang fana ini. Sementara bekal menghadapNya kadang-kala luput dari perhatian kita.
Comments
Post a Comment