Kewajipan siyam atau puasa dalam surah al-Baqarah ayat 183 memberikan fokus terhadap takwa sebagai matlamat puasa dan bulan Ramadhan untuk melahirkan jiwa yang muttaqin. Jiwa orang muttaqin adalah jiwa yang takutkan azab dan balasan Allah, jiwa yang mempunyai insaf-ketuhanan (God-conciousness) yang tinggi dalam hidupnya. Jiwa muttaqin memandu orang yang beriman bahawa balasan dari Allah adalah tidak mungkir dan ia membawa kesedaran apa yang berlaku di dunia ini mempunyai natijah ukhrawi atau akhirat. Beriman mengenai balasan Allah menyebabkan manusia mencari pedoman terbaik dalam apa saja perlakuan hidupnya, pedoman yang akan menyebabkan kesejahteraan wujud dan memberikan kebaikan kepada orang lain. Jika balasan terhadap manusia hanya di dunia saja, pelaku kesalahan yang tidak dapat dikesan atau tidak cukup bukti akan terlepas dan ini menyebabkan seseorang mengemukakan dalih atau mencari ikhtiar supaya bebas daripada kes. Bukti tidak ada tidak bermakna ia tidak mungkin berlaku. Keimanan seseorang kepada Allah menjadikannya insaf bahawa meskipun manusia tidak tahu tetapi Allah Maha Mengetahui. Asas taqwa seperti ini boleh memimpin manusia menjadi orang yang taat dan patuh terhadap pedoman dan petunjuk Allah.
Apabila seseorang melakukan puasa, dari sudut syarak seseorang melakukan kawalan, kekangan, menahan diri dari makan minum dan amalan nafsu yang melampaui batas syarak. Nafsu manusia yang tinggi keinginannya terhadap sesuatu dan kadang-kadang sifatnya melampaui batas dapat dikawal dengan berpuasa. Perut manusia yang menjadi punca pelbagai penyakit dikekang supaya lebih berdisiplin mengenai apa yang patut dimakan dan banyak mana harus dimakan. Pancaindera manusia yang lazimnya melihat, mendengar, menghidu, menyentuh dan merasa apa sahaja akan terdidik dengan latihan rohaniah bahawa semuanya itu memerlukan kawalan supaya sumber yang dilihat, ditonton, dibaca dan ditulis adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada diri dan orang lain.
Puasa dan Ramadhan mendidik manusia melakukan sesuatu kerana Allah iaitu ikhlas dan hikmahnya kembali semula kepada manusia. Melakukan sesuatu kerana Allah adalah kualiti ihsan yang murni ibarat tangan kanan memberi tangan kiri tidak tahu. Penyakit yang menghantui manusia ialah perasaan sombong, takabbur, riak dan u'jub yang menyebabkan manusia lupa pada Allah lalu berasa bangga dengan diri sendiri. Puasa yang khusyuk membangun jiwa muttaqin kerana kesan penghayatannya mendekatkan ahli ibadat kepada Penciptanya. Ibadah puasa selama sebulan, diisi dengan amalan dan ibadat yang sentiasa mendidik manusia insaf-ketuhanan yang tinggi diharapkan dapat menjadi landasan amalan yang berterusan.
Tidak mungkin tanpa takwa dan keimanan kepada Allah nilai yang bersifat rohaniah dapat subur dan berkembang. Apabila sandaran nilai rohaniah terhubung dengan pedoman Allah, ia memberi hikmah yang tinggi kepada manusia, sistem dan kehidupan. Tanpanya kebatilan akan subur, penipuan bermaharajalela, kezaliman berleluasa, kekacauan dan kecelaruan hidup pasti berlaku. Melakukan puasa berupaya memupuk faktor rohaniah menjadi landasan kepada amal dan ibadat dalam makna yang luas. Fitrah hidup insan sering mengharapkan kebaikan kerana tanpa keimanan dan ketaqwaan, mana mungkin kehidupan manusia menjadi baik kerana manusia tidak mempunyai landasan ketakutan terhadap balasan dari Maha Berkuasa dan Perkasa.
Comments
Post a Comment